Arowana
Asia atau lebih dikenali oleh masyarakat Melayu di Malaysia sebagai
ikan kelisa, manakala bagi penduduk-penduduk etnik di beberapa buah
daerah di Republik Indonesia sebagai ikan peyang, tangkelesa, kelesa,
siluk, kahyangan serta beberapa nama lain lagi, adalah ikan hiasan
eksotik klasik bermutu tinggi yang begitu istimewa di kalangan
penggemarnya.
Di samping itu juga, ia sangat terkenal dengan nama jolokannya seperti Dragon Fish dan Dragon Bonytongues terutama sekali bagi para pengekspot dan pengimpot ikan yang sedang diancam kepupusan ini. Walau apa pun jua nama yang diberikan kepadanya, Arowana tetap berenang megah sebagai raja ikan hiasan eksotik air tawar yang unik dan eksklusif.
Pengenalan - Arowana Asia
Scleropages formosus
Arowana Asia atau lebih dikenali oleh masyarakat Melayu di Malaysia sebagai "ikan kelisa" serta "Dragon Fish" oleh sesetengah masyarakat Cina khususnya dan "Dragon Bonytongues" oleh para pengekspot/pengimpot ikan-ikan hiasan amnya, adalah spesis ikan hiasan eksotik air tawar yang amat diidamkan oleh kebanyakan pemelihara ikan hiasan akuarium. Ini adalah kerana, spesis ini mampu mempamirkan keasliannya sebagai ikan hiasan klasik yang bermutu tinggi!
Kategori Arowana Emas
Arowana Emas terbahagi kepada dua sub-variasi berikutnya iaitu Arowana Emas Malaysia (Malaysian Golden). Selain itu, ia juga dikenali sebagai (Malayan Bonytongue) dan Arowana Emas Indonesia (Indonesian Golden) atau secara komersialnya dikenali sebagai Red-Tailed Golden - RTG.
Emas Malaysia
Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak memanjang dan kelihatan langsing. 1/3 warna pada aras
atas dari sektor ekor ke sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh)
adalah berwarna hijau tua - sedikit tetompok kekuningan, manakala 2/3 warna
pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip anal (sirip tunggal di bahagian bawah
berhampiran ekor), sirip pelvik (sepasang sesirip di bahagian hadapan sektor
anus - lazimnya pada bahagian ini warnanya sedikit memudar) serta sepasang sesirip
pektoral (sirip paling hadapan di kedua-dua belah sisi tubuh) adalah berwarna
oren-kemerahan.
Warna sesisik »
Kuning-keemasan (Intensiti 18-24 karat - Arowana Emas Malaysia matang/dewasa)
dengan kilauan kebiru-biruan/keungu-unguan jelas kelihatan terimbas pada
permukaan sektor teras sesisiknya sewaktu ia kecil - bermula dari bahagian
jaluran sesisik ke-4 atau ke-5, malah konfigurasi warna ini mampu meliputi
secara keseluruhan sehingga ke bahagian aras jaluran sesisik ke-6 - sektor
puncak (setelah berusia 5-6 tahun ke atas). Kedua-dua bebola matanya kelihatan
sedikit kuning-kemerahan dan berukurlilit agak besar, manakala warna paling
asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat
tua-kekelabuan.
Emas Indonesia
Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak
membujur dan sedikit memendek. 1/3 warna pada aras atas dari sektor ekor ke
sirip dorsal (sirip tunggal di bahagian atas tubuh) adalah hijau
gelap-kehitaman, manakala 2/3 warna pada aras bawah dari sektor ekor ke sirip
anal, sirip pelvik serta sepasang sesirip pektoral adalah merah-merah tua
(warna pada sesirip serta ekor Arowana Emas Indonesia lazimnya agak memekat
berbanding Arowana Emas Malaysia. Oleh kerana itu jugalah, maka ia dilabel sebagai
Arowana Emas Berekor Merah atau Red-Tailed Golden dalam bahasa Inggeris).
Warna sesisik » Kuning-loyang (Intensiti 12-16
karat - Arowana Emas Indonesia matang) dengan sedikit kilauan keungu-unguan
kelihatan terimbas pada permukaan sektor teras sesisiknya (kilauannya tidak
begitu ketara berbanding Emas Malaysia), bermula dari bahagian jaluran sesisik
ke-4 (agak selari dengan aras matanya). Adakala warna ini mampu untuk
menjangkau sehingga ke aras jaluran sesisik ke-5 jika dikacuk bersama Arowana Emas
Malaysia - proses mutanisasi/hibridisasi). Kedua-dua bebola matanya
berukurlilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Arowana Emas Malaysia dan
berwarna merah gelap, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke
bahagian puncak lazimnya kekelabu-hitaman.
Katogeri Arowana Merah
Arowana
Merah terbahagi kepada dua sub-variasi berikutnya iaitu Arowana Merah Cili
(Chilli Red) dan Arowana Merah Darah (Blood Red). Kedua-dua sub-variasi ini
digelar oleh para pengekspot/pengimpot sebagai Arowana Super Red setelah
melampaui proses pengkacukan (hibridisasi) bersama.
Chilli Red
Bentuk
tubuh dan warna sesirip » Bertubuh kelihatan agak melebar dan berkepala
agak mengecil. Manakala konfigurasi dari bahagian badan ke bahagian
kepala kelihatan agak melandai/melengkung. Kesemua sektor sesirip iaitu
sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan
sirip dorsal berwarna merah garang sementara ekornya berbentuk agak
dempak/lebar serta berbentuk menajam di bahagian hujungnya.
Warna sesisik
» Merah saga pegun (Chilli Red matang/dewasa) haruslah meliputi dari
sektor tebing sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua
permukaan sektor pipi (tompokan merah di kedua-dua belah sektor pipi).
Manakala warna seakan-akan kehijau-hijauan tua agak kelihatan pada
permukaan sektor teras sesisiknya tanpa imbasan kilauan (tidak seperti
Kategori Arowana Emas). Kedua-dua bebola matanya berwarna agak
kekuning-merahan serta berukurlilit agak besar, manakala warna paling
asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya hijau
tua-kecoklatan.
Blood Red
Bentuk
tubuh dan warna sesirip » Bertubuh agak gempal serta kelihatan
memanjang dan langsing. Manakala konfigurasi dari bahagian badan ke
bahagian kepala kelihatan agak meruncing/menirus dan bersaiz normal.
Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip
pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal adalah berwarna merah pekat
sementara ekornya berbentuk melebar dan membulat di bahagian hujungnya
(berbanding Chilli Red - konfigurasinya agak menajam di hujung ekornya).
Warna sesisik
» Merah pekat pegun (Blood Red matang) akan meliputi dari sektor tebing
sesisik (bingkai sisik) hingga ke bahagian kedua-dua permukaan sektor
pipi (sama keadaannya dengan Chilli Red). Manakala warna seakan
kebiru-biru tua agak kelihatan pada permukaan sektor teras sesisiknya
tanpa imbasan kilauan (warna pegun - tidak seperti Kategori Arowana
Emas). Kedua-dua bebola matanya berwarna agak kuning-kemerahan serta
berukurlilit agak mengecil jika dibandingkan dengan Chilli Red),
manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian
puncak juga lazimnya hijau tua-kecoklatan.
Katogeri Arowana Hijau
Arowana Hijau
juga terbahagi kepada dua sub-variasi berikutnya iaitu Arowana Hijau
Biasa (Common Green) dan Arowana Ekor Kuning (Yellow Tail). Kedua-dua
sub-variasi seterusnya ini adalah daripada spesis yang mampu dimiliki
oleh kebanyakan penggemar ikan hiasan, terutama sekali bagi pemelihara
yang mengambil kira perbelanjaan mereka.
Common Green
Bentuk tubuh dan warna sesirip » Bertubuh kelihatan agak membujur dan sedikit memendek (spesis arowana Asia terpendek dalam genus Osteoglossidae - Osteoglossiformes - Scleropages formosus). Kesemua sektor sesirip iaitu sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan sirip dorsal berwarna hijau tua-kekelabuan, sementara ekornya berbentuk agak melebar dan membulat di bahagian hujungnya.
Warna sesisik » Putih pudar yang telus cahaya (Arowana dewasa) harus meliputi dari bahagian abdomen hingga ke aras jaluran ke-5 - sama-sekali tidak memiliki variasi warna yang begitu menonjol berbanding kategori-kategori utama Arowana Asia yang lain. Kedua-dua bebola matanya berwarna jernih kekuningan (adakalanya sedikit kemerahan, bergantung kepada generasi habitat asalnya) serta berukurlilit agak besar, manakala warna paling asas bermula dari sektor kepala ke bahagian puncak lazimnya coklat tua.
Katogeri Arowana Kuning
Yellow Tail
Bentuk tubuh dan warna
sesirip » Sama juga seperti Common Green. Kesemua sektor sesirip iaitu
sepasang sirip pektoral, sepasang sirip pelvik, sirip anal, ekor dan
sirip dorsal adalah berwarna kuning terang bercampur sedikit jejalur
kehijauan.